UMNO, PAS Berkongsi Pentas Lagi

PAS mengesahkan akan berkongsi pentas sekali lagi dengan UMNO pada 3 Februari ini.

Kali ini dalam majlis pelancaran misi “Food Flotilla For Myanmar” yang dijadual akan bertolak ke Myanmar pada 3 Februari.

“Insya-Allah. Ada wakil PAS yang hadir,” kata Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan ketika dihubungi.

Misi pelayaran Flotilla akan bertolak dari Pelabuhan Klang selepas solat Jumaat bagi membantu kira-kira 70,000 orang di Teknaf, Bangladesh dan hampir 150,000 orang di Sittwe, Myanmar.

Lebih 240 delegasi yang mewakili 40 badan bukan kerajaan (NGO) dari dalam dan luar negara akan turut serta dalam kerja mengedar bantuan, merawat, mendirikan khemah, memasak dan melihat keperluan kanak-kanak dan wanita di kem pelarian Rohingya.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, PAS akan menyertai majlis pelancaran misi tersebut.

Perdana Menteri berkata, kerjasama dengan PAS itu berdasarkan isu umah sejagat dan Islam, bukannya politik. – 30 Januari 2017.