Annuar Digantung Berkaitan Tajaan TRW, UniKL

Tan Sri Annuar Musa yang digantung tugas sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pelaburan MARA Berhad (PMB) berkuat kuasa serta merta hari ini adalah berkaitan tajaan pasukan bola sepak Kelantan dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) oleh dua agensi berkenaan.

Ahli Majlis MARA, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, keputusan itu bagi memberi laluan untuk siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku dan penyelewengan kuasa yang dikaitkan dengan Annuar.

Katanya, mesyuarat tergempar yang dihadiri semua Ahli Majlis MARA hari ini sebulat suara bersetuju dengan keputusan berkenaan selaras dengan hasrat agensi dalam memastikan kepentingan dan amanah rakyat sentiasa dipelihara.

“Hari ini kita bermesyuarat mengenai isu semasa dan keperluan untuk mempertahankan integriti serta pengurusan korporat MARA, justeru Ahli Majlis sebulat suara dalam beberapa keputusan.

“Kita bersetuju membincangkan isu tajaan MARA melalui PMB dan UniKL terhadap pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warrior (TRW) yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.

“Sehubungan itu, MARA terpaksa mengambil tindakan tuntas dengan menggantung tugas Annuar supaya isu ini tidak berlarutan sehingga menyebabkan keyakinan rakyat kepada pengurusan kerajaan semakin terhakis,” katanya dalam sidang media, di ibu pejabat MARA hari ini.

Isu tajaan bola sepak yang mengaitkan Annuar sebagai Pengerusi MARA tercetus selepas Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa MARA dan UniKL mengeluarkan dana bagi menaja TRW.

Menjawab sama ada MARA akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara berkaitan Yusof berkata, MARA berhasrat menyelesaikan siasatan dalaman sebelum mengemukakan sebarang laporan rasmi kepada SPRM. – 31 Januari 2017.