Annuar Digantung Tugas Berkuat Kuasa Serta Merta

(Kemas kini) Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini menggantung tugas Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengerusi berkuat kuasa serta merta.

Keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat tergempar pukul 9 pagi hari ini di tingkat 26, ibu pejabat MARA, yang dipengerusikan Dr. Yusof Yacob dan Prof Emeritus Datuk Dr. Abu Azam Md Yassin.

Jawatan Annuar sebagai Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) juga digantung berkuat kuasa tarikh sama.

Dengan itu, semua tugas Annuar di agensi itu akan dipangku Ahli Majlis MARA, Datuk Dr. Yusof Yacob.

Menurut Yusof, Annuar telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan beliau akur dengan keputusan itu.

Sementara itu, Annuar mengesahkan menerima keputusan penggantungan itu dengan berkata, keputusan berkenaan adalah hak MARA.

“Ya sebentar tadi saya dihubungi Dr. Yusof berhubung keputusan itu dan saya menerimanya secara terbuka kerana itu adalah hak mereka,” katanya.

Beliau bagaimanapun, tidak mengulas lanjut perkara mengenainya. – 31 Januari 2017.