Annuar Kata Tidak Tahu Menahu Mesyuarat Khas Hari Ini

Tan Sri Annuar Musa yang digantung tugas sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) berkuat kuasa serta merta hari ini tidak tahu menahu tentang mesyuarat khas oleh Ahli Majlis MARA yang diadakan pada hari ini.

Beliau yang kini berada di New Zealand dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat tersebut sepatutnya diadakan pada 14 Februari ini tetapi akur apabila Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob membenarkan mesyuarat khas diadakan lebih awal (hari ini) tanpa kebenaran dirinya.

Berikut adalah kenyataan penuh Annuar berhubung perkara berkaitan:

Kira kira sejam lalu saya menerima panggilan telefon daripada Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad dan Ahli Majlis MARA, Datuk Dr. Yusof Yaacob memaklumkan, bahawa mereka telah mengadakan Mesyuarat Khas Majlis atas restu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Saya dimaklumkan mesyuarat yang dipengerusikan Dr. Yusof itu telah mengambil keputusan menggantung saya serta-merta dari tugas saya sebagai Pengerusi MARA dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd.

Saya sekarang berada di luar negara atas urusan rasmi Mara.

Hari ini saya baru saja selesai mesyuarat bersama Kolej Yayasan Saad dan Queenstown Recreational College (Otago University) dan esok dijadualkan bertemu Naib Canselor University of Auckland sebelum berlepas pulang khamis. (Program ini akan saya batalkan kerana menghormati penggantungan ini).

Saya tidak tahu menahu hal mesyuarat khas ini dan saya juga belum mendapat maklum apa isunya kerana setakat ini saya tidak pernah diminta apa-apa penjelasan oleh sesiapa baik Ahli Majlis atau menteri.

Mesyuarat Majlis dijadualkan pada 14/2/17 dan saya bercadang untuk berbincang isu-isu berkaitan tetapi nampaknya YB menteri telah memberi ‘consent’ untuk mesyuarat khas diadakan terlebih awal dan tanpa kehadiran saya.

Sebagai penjawat jawatan yang dilantik oleh menteri saya menerima apa saja secara berlapang dada dan penuh kebertanggungjawaban terutama dalam rangka menjalankan tugas yang diamanahkan kepada saya.

Prinsip integriti dan amanah Insya-Allah sentiasa saya utamakan.

Saya akan membuat kenyataan selanjutnya minggu depan Insyaallah..biar segalanya tenang dulu dan tidak perlu terburu buru.

Terima kasih kepada semua
Salam Hormat.

-31 Januari 2017.