Calon BN PRK DUN Tanjung Datu Diketahui Esok

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu akan diketahui esok (Rabu).

Pengumuman mengenainya akan dibuat oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Setiausaha BN Sarawak, Datuk Dr. Stephen Rundi Utom memberitahu, pengerusi BN Sarawak, akan menamakan calon tersebut pada hari tersebut.

Katanya, empat nama telah disenarai pendek bagi menentukan calon yang paling sesuai.

Beliau berkata, calon yang dipilih nanti tidak semestinya balu Tan Sri Adenan Satem, Datuk Amar Jamilah Anu atau seorang daripada dua anaknya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 4 Februari, pengundian awal pada 12 Februari manakala hari pembuangan undi pada 18 Februari.

PRK DUN Tanjong Datu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima, Adenan, akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lepas di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 Mei tahun lepas, Adenan, 72, mendapat 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi.

Jazolkipli hanya meraih 468 undi.

Adenan adalah penyandang kerusi Tanjong Datu sejak PRN 2006.

Sebelum ini, Ketua Perhubungan PKR Sarawak, Baru Bian mengumumkan bahawa parti itu tidak akan bertanding kerusi itu sebagai menghormati Allahyarham Adenan serta memfokus kepada pilihan raya umum akan datang.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dilaporkan berkata, partinya akan mengadakan mesyuarat untuk memutuskan sama ada meletakkan calonnya atau sebaliknya. – 31 januari 2017.