Isu Annuar Tidak Jejas UMNO Kelantan

Isu Tan Sri Annuar Musa tidak menjejaskan kekuatan UMNO Kelantan, kata Datuk Seri Mustapa Mohamed .

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu berkata, tindakan tersebut tidak melibatkan parti, ia hanya membabitkan jawatan yang dilantik menteri dalam sebuah agensi.

“UMNO Kelantan berfungsi seperti biasa tanpa dibayangi masalah berkenaan. Kita ianya tiada kaitan dengan UMNO dan tidak akan memberi kesan terhadap parti di Kelantan.

“Malah, semangat dalam kalangan ahli UMNO semakin tinggi sejak kebelakangan ini,” katanya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyampaian bantuan Unit Peneraju Agenda Bumiputra (TERAJU) dan lantikan program akademik 2017 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Jeli, hari ini.

Majlis Amanah Rakyat (MARA), dalam mesyuarat khasnya semalam menggantung Annuar sebagai pengerusinya dan Pengerusi Pelaburan MARA Bhd (PMB) berkuat kuasa serta merta.

Mustapa dalam pada itu, memuji sikap Annuar ketika berdepan masalah tersebut yang menerimanya dengan tenang.

“Buktinya dalam kenyataannya, Annuar berlapang dada dan dengan rasa penuh tanggungjawab menerima keputusan penggantungan jawatan berkenaan,” katanya. – 1 Februari 2017.