Mahu Bersih Imej Kerajaan Dan MARA Kata Mohd. Amar

Kerajaan PAS Kelantan tidak mahu mencampuri isu penggantungan Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pengerusi Pelaburan MARA Bhd (PMB).

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengandaikan tindakan itu sebagai sebahagian daripada untuk membersihkan imej kerajaan dan MARA di mata rakyat.

“Tindakan itu disifatkan lebih ke arah (menyelesaikan) konflik dalaman mereka (MARA). Kita (kerajaan negeri) tidak mahu campur tangan (isu penggantungan Annuar sebagai Pengerusi MARA dan PMB).

“Namun, kita akan tunggu hasil siasatan yang akan dikeluarkan selepas ini,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, hari ini.

Dalam mesyuarat khas semalam, MARA membuat keputusan menggantung Annuar sebagai Pengerusi MARA dan PMB berkuat kuasa serta merta.

Ia bagi memberi laluan untuk siasatan berhubung tajaan pasukan bola sepak Kelantan yang membabitkan PMB dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL). – 1 Februari 2017.