Biro IPT Pemuda UMNO Bantu Ahmad Faiz Dalami Pengajian Hadis Di Madinah

Kisah kejayaan Ahmad Faiz Ibrahim, remaja OKU yang menulis dengan bantuan dagu dan mulut bukan sahaja menjadi inspirasi kepada masyarakat, malah mendapat perhatian Biro Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Pemuda UMNO yang berazam mahu merealisasikan impiannya mendalami bidang pengajian hadis di Universiti Islam Madinah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed memberitahu, Exco Pemuda UMNO, Dr. Fathul Bari Mat Jahya telah menghubungi Universiti Islam Madinah untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung prosedur kemasukan pelajar baharu, khususnya insan istimewa seperti Ahmad Faiz.

Kata beliau, pihak universiti memaklumkan mereka sudi mempertimbangkan permohonan namun memberitahu, seorang ahli keluarga Ahmad Faiz dikehendaki menemaninya sepanjang tempoh pengajian di sana.

“Bapa Ahmad Faiz sanggup menemani anaknya di sana namun masih ada beberapa prosedur lain perlu dipatuhi. Bagi memudahkan urusan, kita merancang pertemuan dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud yang kebetulan akan melawat Malaysia bulan ini.

“Jika tidak ada halangan, Ahmad Faiz boleh memulakan pengajian sekitar Julai atau Ogos nanti,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang permohonan kemasukan ke Universiti Islam Madinah kepada Ahmad Faiz di kediamannya di Pengkalan Demit, Kubang Kerian, hari ini.

Yang turut hadir, Dr. Fathul Bari.

Sementara itu, bapa Ahmad Faiz, Ibrahim Yunus, 48, berkata, mereka sekeluarga terhutang budi kepada Pemuda UMNO, khususnya Dr. Fathul Bari yang tidak jemu-jemu berusaha mencari jalan memastikan anaknya dapat menyambung pelajaran di Universiti Islam Madinah.

“Ini impian Ahmad Faiz sejak kecil. Alhamdulillah ada pihak sudi bantu anak saya,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Ahmad Faiz yang menuntut di Maahad Ar-Rahmah Kenali membuktikan dia juga mampu cemerlang sebagaimana insan normal apabila diumumkan salah seorang daripada 19 pelajar terbaik STAM 2016 Kelantan yang memperoleh 10 Mumtaz (cemerlang).

Ekoran penyakit cerebral palsy yang dihidapinya sejak kecil, hampir 90 peratus pergerakan pemuda tersebut perlu dibantu kerana kaki dan tangannya tidak boleh dialih atau diangkat menggunakan kudrat sendiri.

Dia juga terpaksa dipakaikan lampin ketika berada di sekolah. – 3 Februari 2017.