Jangan Buat Spekulasi Isu Annuar

Semua pihak diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu Tan Sri Annuar Musa yang diminta bercuti sementara sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pelaburan MARA Berhad (PMB).

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, keputusan itu adalah dalam bidang kuasa Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi menentukan kedudukan Annuar.

“Jangan membuat spekulasi dan isu itu tidak membabitkan parti dan politik Annuar. Ia adalah isu bola sepak, takkan kerana bola negara kena hancur.

“Isu ini (kerana ada) orang buat tuduhan, (kena) siasat dan bersih nama,” katanya ditemui pada Majlis Solat Hajat Perdana, di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat, Kota Bharu malam tadi.

Sementara itu, Annuar yang kini berada di Auckland, New Zealand meluahkan rasa terharu dengan penganjuran solat hajat berkenaan.

Menerusi laman Facebooknya beliau berkata, isu bola sepak Kelantan mengheret beliau sehingga diminta bercuti sementara di dalam MARA, namun beliau bersyukur dan bangga dengan apa yang dilakukannya untuk Kelantan dan pasukan The Red Warriors (TRW).

“Untuk ramai bergembira sudah tentu harus ada satu yang terpaksa menderita, setakat yang saya tahu segalanya dilakukan secara jujur mengikut jalur peraturan dan undang-undang.

“Kerana itulah pesan saya pada diri saya, MARA, KAFA, Penerangan (UMNO) dan Parlimen Ketereh, saya junjung amanah sedaya mungkin saya.

“Saya pertaruhkan nyawa dan maruah diri saya untuknya (KAFA dan MARA), Insya-Allah, Wamakaru Wamakarallah Wallahukhairul Maakiriin,” katanya. – 2 Februari 2017.