Orang Asli – Roboh, Kami Bina Semula

Biarpun beberapa kali mahu diroboh namun, masyarakat Orang Asli di Gua Musang akan terus mempertahankan tanah adat mereka.

Mereka akan membina sekatan kali ketiga selepas sekatan di Simpang Petei, Pos Tohoi dan Pos Bihai dirobohkan dalam operasi Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) sebelum ini.

Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Mustafa Along berkata, pembinaan semula itu membuktikan mereka tidak akan berganjak dalam mempertahankan tanah adat dari sebarang aktiviti yang boleh memusnahkan hutan.

“Pendirian kami tetap sama di mana mereka roboh, kami bina semula dan begitulah sehingga perintah mahkamah dikeluarkan. Kami hanya mempertahankan hutan kami yang mana merupakan nadi kehidupan buat kami.

“Bagaimanapun, kami kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan JPNK baru-baru ini yang mengatakan jumlah sokongan terhadap perjuangan ini semakin berkurang atas dasar kesedaran.

“Sehingga kini, kami berjaya mengumpul sokongan 17 daripada 21 wilayah yang ada. Ini bermakna, lebih separuh iaitu melebihi 5,000 penduduk Orang Asli menyokong perjuangan kami. Nak tahu kebenaran, kita lihat sahaja nanti,” katanya. – 2 Februari 2017.