RM100,000 Bantu Mangsa Banjir Terkepung Di Machang

Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM100,000 bagi membantu 1,500 keluarga mangsa banjir yang terkepung membabitkan lapan kampung di Machang, Kelantan sejak awal Januari.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, peruntukan tersebut merangkumi bantuan bekalan makanan bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.

“Peruntukan berupa bantuan makanan ini diharapkan dapat meringankan beban perbelanjaan harian mangsa banjir terkepung ini.

“Walaupun rumah mereka tidak dinaiki air namun mereka tidak boleh keluar bekerja, sekali gus mereka kehilangan sumber pendapatan akibat banjir,” katanya kepada sokmo.net.

Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, lapan kampung terlibat ialah Kuala Hau, Sungai Bedal, Kampung Bukit Besi, Lepan Peringat, Ladang Kuala Hau, Limau Nipis, Taman Sri Aman dan Kampung Bunchit.

Dalam kejadian banjir baru-baru ini, kira-kira 300 penduduk Kampung Kuala Hau mengalami kekurangan bekalan makanan.

Laluan utama di Ladang Kuala Hau terputus hubungan selepas jalan tersebut dinaiki air akibat limpahan dari sungai berdekatan.

Selain terputus bekalan makanan, penduduk terbabit juga tidak boleh keluar bekerja dan ke sekolah. – 2 Februari 2017.