Annuar Hadir Pejabat SPRM

Seperti mana dijanjikan, Tan Sri Annuar Musa yang digantung tugas sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pengerusi Pelaburan Mara Berhad (PMB) hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pagi ini.

Beliau hadir bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah laku tadbir apabila menaja pasukan bola sepak Kelantan.

Annuar tiba di perkarangan bangunan SPRM tepat jam 9 pagi.

Semalam, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari New Zealand, Annuar memberitahu akan menyerah diri kepada SPRM bagi membolehkan kes terhadapnya disiasat dengan telus.

Katanya, beliau tidak akan lari daripada disiasat oleh SPRM berhubung isu penajaan MARA kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Beliau berkata, walaupun MARA mahu menjalankan siasatan dalaman ke atas beliau tetapi dikhuatiri akan lebih banyak tuduhan membabitkannya.

“Saya sendiri sukarela (disiasat). Saya ada pendirian saya sendiri.

“Bagi saya, elok SPRM atau PDRM (Polis DiRaja Malaysia) siasat saya, dan saya akan beri kerjasama penuh. Saya tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan.

“Saya bekerja untuk pasukan bola sepak Kelantan sebagai tanggungjawab saya. Saya bekerja dalam Mara sebagai tanggungjawab saya, dan saya menjaga integriti dan amanah,” katanya.

Selasa lalu, Annuar diminta ‘bercuti sementara’ sebagai Pengerusi MARA dan Pelaburan Mara Berhad (PMB) berkuatkuasa serta-merta bagi membolehkan siasatan dalaman diadakan berhubung isu penajaan MARA kepada KAFA.

Isu berkenaan tercetus selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa MARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mengeluarkan dana bagi menaja The Red Warriors (TRW).

Bagaimanapun, Annuar menafikan kedua-dua agensi itu dipaksa menaja pasukan berkenaan, sekali gus menolak kemungkinan wujud salah guna kuasa. – 3 Februari 2017.