BN Yakin Tamatkan Penguasaan PAS Di Kelantan

Barisan Nasional (BN) yakin memperolehi sekurang-kurangnya 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekaligus menamatkan penguasaan 27 tahun PAS di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bendahari UMNO negeri, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, keyakinan tersebut berdasarkan kesungguhan serta kerja kuat parti itu membantu rakyat selain dibantu perpecahan pembangkang.

“Bukan setakat 12 kerusi, mungkin akan bertambah dan membentuk kerajaan.

“Faktor dimana UMNO yang tidak pernah berhenti bekerja untuk rakyat selain mempunyai jentera kukuh dilihat mampu memberi kelebihan kepada parti itu menang pada PRU-14,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perjumpaan khas serta pengumuman jentera BN Kota Bharu, malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Fatmi yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu berkata, BN mampu merampas kembali Parlimen Kota Bharu pada PRU-14 meskipun kawasan tersebut dianggap sebagai kubu kuat PAS.

“Hari ini, kita lihat BN Kota Bharu menunjukkan solidariti serta semangat perpaduan yang cukup kuat dalam kalangan parti-parti komponen sekaligus berjaya membentuk kekuatan dalam menghadapi pilihan raya,” katanya.
– 3 Februari 2017.