Jangan Spekulasi, Annuar Beri Kerjasama Penuh – SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu Tan Sri Annuar Musa.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, SPRM berkata, telah merakam lebih lima individu berhubung dakwaan penyelewengan dan salah laku tadbir melibatkan Annuar.

“SPRM hari ini telah merakam percakapan Tan Sri Annuar Musa berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa beliau ketika menyandang jawatan Pengerusi MARA.

“Setakat hari ini, SPRM telah merakam percakapan lebih lima individu yang dipercayai dapat membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan ke atas beliau,” menurut kenyataan itu.

Menurut SPRM, Ahli Parlimen Ketereh itu hadir ke pejabat SPRM secara sukarela dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan penyiasat.

Ahli Lembaga Majlis MARA dalam mesyuarat khasnya Selasa lepas mencapai keputusan menggantung jawatan Annuar dalam agensi itu bagi memberi laluan siasatan dalaman berhubung penyelewengan dakwaan salah guna kuasa dengan memberi penajaan kepada pasukan bola sepak Kelantan. – 3 Februari 2017.