Najib, Tuan Ibrahim Bersama Lancar Misi Food Flotilla For Myanmar

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini melancarkan Misi Food Flotilla For Myanmar.

Misi yang membawa 2,200 tan bantuan makanan dan ubat-ubatan dengan kapal Nautical Aliya, di Terminal Boustead Cruise Centre, dilancarkan tepat jam 4 petang.

Laungan azan ternyata menyemarakkan semangat kemanusiaan lewat misi itu ketika Perdana Menteri dan Timbalan Presiden PAS itu membunyikan hon tanda bermulanya perjalanan Nautical Aliya.

Misi yang diketuai Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim itu dianjurkan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Ia turut disokong lebih 30 badan bukan kerajaan (NGO) dalam dan luar negara.

Majlis pelepasan turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Seramai 238 sukarelawan termasuk anggota media dan pakar perubatan yang akan membantu masyarakat Islam di Teknaf dan Myanmar yang ketika ini hidup melarat akibat konflik.

Antara lain, misi bertujuan menyampaikan mesej kepada Myanmar untuk menghentikan penindasan ke atas etnik Rohingya dan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada kelompok terjejas di wilayah Rakhine.

Lebih 60,000 pelarian Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dari Maungdaw di utara Rakhine sejak Oktober tahun lalu akibat operasi tentera Myanmar. – 3 Februari 2017.