Saya Tanggung Sendiri – Annuar

Tan Sri Annuar Musa bertegas akan menanggung sendiri segala dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa terhadap dirinya.

Katanya, beliau bertanggungjawab sepenuhnya dalam isu ini tanpa melibatkan sesiapa termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Setakat ini apa yang sedang disiasat tidak ada kena mengena dengan perdana menteri, kalau urusan dengan beliau itu atas urusan parti.

“Yang ini saya pikul sendiri, kenapa nak bebankan perdana menteri kerana yang dituduh itu saya,” katanya selepas hadir memberi keterangan selama empat jam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan tersebut hari ini.

Annuar menjawab soalan pemberita kemungkinan beliau akan bertemu perdana menteri bagi mendapatkan penjelasan berhubung status dan kedudukannya dalam UMNO selepas terpalit dengan isu berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, telah memberi kerjasama dengan menjawab soalan pasukan penyiasat SPRM setakat yang diketahuinya.

“Bukti (beri) setakat mana yang saya tahu, saya menjawab soalab-soalan.

“Saya tiada bawa bukti sebab saya tidak tahu apa yang mereka mahu dapatkan jadi saya jawab setakat apa yang saya tahu berdasarkan apa yang SPRM tanya,” katanya.

Tambahnya, banyak perkara telah ditanya termasuk keterlibatan dalam Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Pelaburan MARA Bhd (PMB) dan syarikat yang menguruskan penajaan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Dalam pada itu, beliau menganggap apa yang berlaku adalah sebagai satu cabaran untuk seorang ahli politik.

“Bila kita berkhidmat kepada rakyat sudah tentu akan ada cabaran, yang penting kita buat dengan jujur dan ikhlas bukan songlap masuk poket, bukan untuk peribadi, kita berkhidmat untuk orang ramai.

“Oleh kerana tuduhan ini agak serius bila dikatakan menyeleweng duit biasiswa, duit MARA, memaksa penajaan, kalau itu benar berlaku sangat buruk, sangat buruk bagi seorang penjawat awam, wakil rakyat, seorang ahli politik yang mencecah umur 60 tahun kalau kita buat kerja menyeleweng dana, duit biasiswa, maka mesti disiasat,” katanya.

Mengenai pemilihan bagi jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Annuar berkata, beliau masih layak bertanding.

“Saya masih layak untuk bertanding walaupun disiasat tapi tidak semestinya saya akan bertanding,” katanya.

Pada Selasa, mesyuarat khas MARA yang tidak dihadiri Annuar memutuskan menggantung jawatan beliau dalam agensi itu bagi memberi laluan siasatan dalaman berhubung penyelewengan dakwaan salah guna kuasa dengan memberi penajaan kepada KAFA. – 3 Februari 2017.