Kerjasama PAS, UMNO Demi Islam

Kerjasama PAS dan UMNO menerusi kemanusian Malaysia Food Flotilla for Myanmar adalah demi kebaikkan Islam dan diharap akan terus berkekalan

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerjasama tersebut juga membuktikan keiklasan kedua-dua pihak untuk bersama dalam apa jua usaha demi kebaikkan Islam.

Katanya, langkah yang diambil kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu sepatutnya dijadikan contoh dan amalan semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

“Kita rugi besar kalau sering bertelagah, kita rugi besar kalau berpecah, kita rugi besar kalau saling fitnah memfitnah. Jadi kita harap semua umat Islam akan sedar betapa pentingnya perpaduan.

“Apa yang dilakukan UMNO dan PAS adalah demi kebaikkan Islam itu diharapkan akan terus berkekalan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Kepimpinan Khas Mahasiswa Kelantan di Pondok Moden, Jeli hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bersama-sama menyempurnakan majlis pelepasan kapal Nautical Aliya yang akan memulakan pelayaran ke Yangon, Myanmar dan Teknaf, Bangladesh.

Misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang turut disokong PAS itu adalah demi membuktikan kebersamaan masyarakat antarabangsa dengan penderitaan yang dialami oleh etnik Rohingya. – 4 Februari 2014.