Kit Siang Hipokrit

Tindakan Lim Kit Siang mempertahankan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dikaitkan dengan skandal kewangan Bumiputra Malaysia Finance Ltd. (BMF) membuktikan Penasihat DAP itu seorang pemimpin yang cukup hipokrit.

Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, Kit Siang merupakan individu yang paling lantang berjuang termasuk mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu tersebut satu ketika dahulu.

Bagaimanapun katanya, Ahli Parlimen Gelang Patah itu sanggup mengenepikan prisipnya sebelum ini semata-mata demi kepentingan politik.

“Apabila dikaitkan Dr. Mahathir dalam isu tersebut, Kit Siang membisu seribu kata. Jadi bermakna, perjuangan Kit Siang sebelum ini bukan untuk rakyat, bukan demi kepentingan negara sebaliknya berjuang untuk mendapatkan jawatan semata-mata.
“Jelas Kit Siang adalah pemimpin yang hipokrit dan kalau dalam Islam disebut munafik,” katanya selepas majlis perjumpaan khas serta pengumuman jentera Barisan Nasional (BN) Kota Bharu.

Baru-baru ini, Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) mendedahkan dokumen mengaitkan bekas Perdana Menteri itu dengan skandal kewangan BMF, namun sebagai maklum balas Dr. Mahathir menuduh perkara itu dibangkitkan kerana bermotifkan politik.

Dalam sidang akhbar di Pulau Pinang pada 25 Januari lalu, Kit Siang dilihat cuba mempertahankan Dr. Mahathir dengan menyatakan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jauh lebih serius berbanding skandal BMF sekali gus mendakwa dokumen CIA tersebut tidak mengandungi sebarang maklumat baharu. – 4 Februari 2017.