Padah Jual Jersi Cetak Rompak

Padah menjual jersi cetak rompak pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW), seorang peniaga bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

Kesalahan itu dikesan dalam operasi Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan dengan kerjasama penaja peralatan sukan dan jersi yang dipakai TRW pada musim ini iaitu Glow Glowing Beauty Skin.

Peniaga terbabit telah melakukan kesalahan tersebut semasa aksi persahabatan TRW menentang Hanelang FC di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Pengarah Urusan Glow Glowing Skin, Datuk Mohd. Rowi Dollah berkata, pihaknya memandang serius terhadap aktiviti penjualan jersi cetak di pasaran.

“Dan kami juga akan bertindak serius dalam membendung penjualan jersi cetak rompak ini.

“Jadi saya nasihatkan kepada peniaga sekiranya mahu menjual jersi pastikan yang asli. Mereka yang berminat boleh menghubungi terus pihak kami,” katanya.

Mohd. Rowi memberitahu, pihaknya akan terus bekerjasama dengan PPDNKK dalam isu penjualan jersi cetak rompak itu. – 4 Februari 2017.