PAN bukan cabaran PAS, Tidak Akan Menang Satu Kerusi Kata Mohd. Amar

PAS tidak menganggap parti serpihannya, PAN sebagai cabaran yang boleh menggugat kerajaan di Kelantan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, saingan PAS yang sebenar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hanyalah Barisan Nasional (BN) atau UMNO sahaja.

“Saya cakap terus terang, bukan nak bangga, tetapi berdasarkan maklumat yang ada pada kita, kajian dan pemerhatian, saya berani mengatakan PAN tidak akan menang satu kerusi pun di Kelantan.

“Pertandingan adalah antara PAS dan UMNO sahaja, kalau PAS menang, UMNO kalah; kalau UMNO menang, PAS kalah, itu sahaja,” katanya selepas merasmikan Mini Darun Niswah Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Amar berkata, PAS tidak akan mengikut pandangan orang lain dalam menentukan hala tuju hubungannya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Katanya, pihak lain mungkin mengesyorkan pelbagai perkara kepada PAS termasuk meminta bekerjasama dengan PPBM malah berbaik semula dengan DAP namun parti itu tetap mempunyai pendirian sendiri.

“Seperti yang telah dijelaskan Timbalan Presiden PAS, kita sebenarnya belum ada keputusan rasmi, pertemuan (hari Rabu) itu lebih kepada perbincangan, memberi cadangan dan pandangan.

“Keputusan menentukan ada kerjasama atau tidak, ada tahaluf atau tidak itu akan dibuat oleh PAS Pusat yang akan nilai dan akan diangkat ke Majlis Syura.

“Memang semua orang suka kalau ada kerjasama, tapi kita ada penilaian kita sendiri, kita tidak boleh nak ikut orang, kalau kita ikut pandangan orang, semua orang suruh kita bekerjasama,” katanya.
– 4 Februari 2017.