Pasangan Suami Isteri Maut Kereta Dinaiki Terbabas

Sepasang suami isteri maut selepas kenderaan yang dinaiki terbabas sebelum merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh, Kampung Wakaf Tok Wali.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari semalam itu, Anuar Yahya, 55, dan Noriah Ismail, 52, tercampak keluar dari keretanya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Manakala dua cucunya dan pemandu serta empat penumpang kereta jenis Proton Iswara Aeroback hanya mengalami cedera ringan.

Menurut saksi kejadian, Zakaria Yaakob, 52, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu ke rumahnya di Peringat dan mengekori belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Isis yang dipandu mangsa.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, dia terdengar bunyi dentuman kuat sebelum MPV di hadapannya terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah kereta lain.

“Waktu itu, saya sempat melihat MPV itu terbabas dan merempuh kereta Proton Iswara Aeroback yang datang dari arah bertentangan sebelum dua penumpang kenderaan itu tercampak keluar.

“Saya terus bergegas ke lokasi kejadian dan melihat dua mangsa yang tercampak berlumuran darah di kepala dan badan sudah tidak sedarkan diri manakala dua lagi kanak-kanak yang berada dalam MPV itu tidak mengalami kecederaan,” katanya semasa ditemui.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Setapa Yusoff berkata, siasatan awal mendapati, MPV berkenaan mengalami tayar pecah sebelum terbabas.

“MPV yang dipandu mangsa telah hilang kawalan berpunca daripada tayar pecah dan menyebabkan kenderaan mangsa terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh Proton Iswara Aeroback,” katanya.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga. – 4 Februari 2017.