Tiada Siapa Yang Bersalah

Ketereh menjadi tumpuan. Kelantan kecoh lagi. Semuanya demi The Red Warriors berikutan Tan Sri Annuar Musa dinasihatkan bercuti daripada tugasnya sebagai Pengerusi MARA dan Pengerusi Pelaburan MARA Bhd. serta mereta.

Langkah itu diambil oleh Ahli Majlis MARA bagi memberi laluan kepada audit dalaman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan secara telus dan adil.

Perkara itu menjadi tajuk utama hampir semua akhbar. Maka seluruh negara bising terutama Kelantan mengenai perkara tersebut. Apatah lagi ini merupakan kali kedua bapa pembangunan bola sepak Kelantan itu disiasat berhubung dakwaan salah guna kuasa dan rasuah. Kali pertama kira-kira 15 tahun lalu ketika beliau menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar. Dan akhirnya beliau didapati tidak bersalah hatta tidak dituduh pun di mahkamah.

Biarpun begitu sudah menjadi resmi rakyat Malaysia untuk menghukum sebelum hukuman dijatuhkan. Dan kerana itu Annuar dilihat seolah-olah bersalah biarpun siasatan hanya baru bermula.

Bagaimana untuk mengatakan Annuar bersalah sedangkan siasatan belum pun bermula. Ini semua berlaku kerana persepsi dan doktrin politik yang ditanamkan terutama oleh puak-puak pembangkang.

Ini juga bukan kali pertama Annuar diserang ketika menjadi Pengerusi MARA. Pada Jun 2015, beliau diserang dalam isu pembelian blok pangsapuri di Melbourne, Australia oleh anak syarikat MARA iaitu Mara Incorporated Sdn. Bhd.

Annuar bertindakan bijak apabila beliau muncul di ibu pejabat SPRM menyerahkan dokumen mengenai pembelian pangsapuri tersebut kepada SPRM kerana baginya audit dalaman tidak memadai dan akhirnya isu itu sepi begitu sahaja.

Namun pada 12 Januari 2017, isu penajaan MARA melalui dua entitinya iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pelaburan MARA Bhd. (PMB) dalam skuad The Red Warriors sebanyak RM700,000 didedahkan oleh Tengku Mahkota Johor (TMJ).

Semuanya bermula daripada pertikaman lidah di antara kedua-dua tokoh tersebut mengenai arena bola sepak negara. TMJ mengemukakan dokumen penajaan tersebut dan Annuar membalas dengan mendedahkan keuntungan daripada penajaan itu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan respon pantas pada keesokan harinya dengan mengarahkan semua bentuk tajaan bukan pendidikan ditangguhkan serta merta.

Dalam masa yang sama, Annuar meneruskan hasratnya menawarkan diri untuk Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) manakala TMJ pula mempunyai perancangan sendiri – bertarik tali untuk menawarkan diri ke jawatan itu – mencadangkan Tan Sri Aseh Che Mat sebagai presiden atau dengan kata mudah mentadbir melalui proksi.

Kita boleh menilai daripada apa yang berlaku namun yang paling penting ialah memberikan peluang kepada Audit Dalaman MARA dan SPRM melaksanakan tugas mereka biarpun cara ‘memberi cuti’ itu agak canggung dan tidak manis dilihat.

Gerak kerja yang tidak berhati-hati seperti ini sebenarnya membuka ruang kepada fitnah yang lebih besar kepada Annuar, MARA, UMNO dan juga negara.

Namun anak-anak Kelantan terutama penyokong tegar bapa pembangunan bola sepak Kelantan ini tidak perlu terlalu beremosi, lihat secara positif kerana ini adalah peluang yang amat baik untuk Annuar membersihkan dirinya. Dan tiada siapa yang bersalah sehingga dibuktikan.

Annuar sendiri berulang kali menegaskan akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan itu. Dan semalam beliau telah membuktikan itu semua dengan hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa terhadapnya.

Malah ketelusan Annuar begitu terserlah tatkala berdepan isu yang dihadapinya apabila beliau sendiri meminta agar SPRM dan polis membuat siasatan terhadapnya kerana baginya ia tidak cukup sekadar dengan siasatan audit dalaman.