Balak: Cadangan Perkasa Tidak Realistik

Kerajaan PAS Kelantan menyifatkan cadangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang mahukan kerajaan negeri menghentikan kegiatan pembalakan di negeri itu sebagai tidak realistik.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, hak untuk membalak adalah hak kerajaan negeri yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan hampir semua negeri di Malaysia menjalankan aktiviti pembalakan.

“Apa tujuan (Perkasa) hendak suruh kerajaan hentikan pembalakan? Kalau kita boleh selesaikan perkara royalti, kami mungkin henti terus membalak, jadi dia kena realistik, kena praktikal, nak bagi cadangan ini kena realistik.

“Saya tengok sebenarnya kita tidak ada masalah pun kerana (pembalakan) kita berjalan ikut peraturan. (Isu) Orang Asli ini kerana ada hasutan daripada orang luar yang hasut kononnya Orang Asli ini ada hak kerana ini tanah dia.

“Itu tidak betul, sebab dari segi undang-undang kita ada Kanun Tanah Negara, dan kita ada Enakmen Tanah Rizab Melayu Kelantan, jadi tidak berbangkit cerita tanah adat semua ini,” katanya selepas merasmikan Mini Darun Niswah Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor, semalam.

Sebelum ini Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mendesak kerajaan negeri supaya menghentikan kegiatan pembalakan di Hulu Kelantan bagi tempoh 50 tahun.

Sementara itu, Mohd. Amar berkata, kegiatan pembalakan yang dijalankan mematuhi syarat yang ditetapkan Majlis Perhutanan Negara yang menghadkan pembalakan di kawasan Hutan Simpan tidak boleh melebihi 50 peratus. – 5 Februari 2017.