Bisikan Suruh Bunuh Anak

Ibu yang dipercayai mengelar anak perempuannya berusia dua bulan sehingga mati dikatakan pernah terdengar bisikan menyuruh membunuh anaknya.

Sepupu mangsa, Nur Kamelia Kamaruzzaman, 20, memberitahu, suspek pernah mengadu bisikan ghaib itu kepada jirannya beberapa hari sebelum kejadian tersebut.

“Tetapi dia tidak menceritakan kepada suaminya dan tidak ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya ditemui di rumah mayat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), semalam.

Nur Kamelia berkata, Selasa lalu keluarga berkenaan pulang ke kampungnya di Jal Kecik, Tumpat, dan suspek tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

“Itulah kali terakhir saya berjumpa mangsa, dia nampak manja, manakala ibunya (suspek) tidak menunjukkan sebarang perubahan atau sikap yang pelik.

“Kejadian ini sangat mengejutkan kerana ibu mangsa tidak mempunyai sebarang perselisihan faham dengan suaminya,” katanya.

Dalam kejadian jam 2.45 petang semalam itu, seorang bayi perempuan berusia dua bulan mati dikelar dipercayai dilakukan ibunya yang berusia 32 tahun, di kuarters tentera di Kok Lanas.

Kejadian tersebut disedari seorang jiran yang kemudian segera bertindak menghubungi polis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, jiran berkenaan melihat mangsa terbaring di atas tilam di ruang tamu rumah berkenaan dalam keadaan berlumuran darah.

Katanya, siasatan awal polis mendapati, mangsa dikelar di bahagian kiri leher dengan pisau pemotong sayur.

“Ketika kejadian, dua anak supek yang berusia 11 dan 8 tahun sempat keluar melarikan diri selepas melihat tindakan ibu mereka,” katanya.

Semasa kejadian, suami suspek merupakan seorang anggota tentera tiada di rumah.

Abdul Rahman berkata, polis masih menyiasat bagi mengenal pasti punca kejadian sama ada suspek mengalami gangguan emosi.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, untuk bedah siasat,” katanya. – 5 Februari 2017.