Ibu Kelar Anak Direman Tujuh Hari

Ibu yang dipercayai mengelar leher anak perempuannya berusia dua bulan, direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu, Rusli Ahmad sehingga 11 Februari ini.

Rusli hadir bersama jurubahasa dan pegawai polis di wad psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, bagi menjalankan prosiding berkenaan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Portal ini semalam, melaporkan seorang bayi perempuan berusia dua bulan ditemui mati dipercayai dikelar oleh ibunya di kuarters Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas.

Kejadian kira-kira jam 2.45 petang semalam itu Nur Areesa Sofea Jiry ditemui di ruang tamu dalam kesan kecederaan di bahagian kiri leher.

Mayat kemudian dibawa ke HRPZII untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mukim Jal Kechik, Tumpat, jam 3.15 pagi tadi. – 5 Februari 2017.