Annuar Terima Borang Pengesahan Tanding Presiden FAM

Tan Sri Annuar Musa, menjadi orang pertama menerima borang pengesahan pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017 hingga 2021.

Borang pengesahan pencalonan itu diserahkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin kepada Annuar di salah sebuah hotel di ibu negara, hari ini.

Menerusi entri terbaru Facebooknya Annuar melahirkan rasa syukur dengan perkembangan itu.

“Alhamdulillah.. serah borang menerima pencalonan jawatan Presiden FAM… calon pertama menerima pencalonan… Atas semangat kesukanan… and love for the sport,” tulisnya.

Annuar juga turut memuat naik beberapa keping gambar penyerahan borang pengesahan pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden FAM.

Beliau juga memaparkan salinan borang pengesahan pencalonan yang antara lain mengandungi pengakuan beliau layak bertanding merebut jawatan Presiden FAM pada Kongres Pemilihan FAM ke-53, 25 Mac ini.

Antara kelayakannya ialah calon mesti bebas daripada tiga syarat utama iaitu tidak diisytihar bankrap, tidak pernah dijatuhkan hukuman lima tahun penjara sebelum pertandingan dan tidak pernah didakwa.

Sebelum ini, Annuar yang terbabit dalam isu penajaan pasukan Kelantan menafikan wujudnya pembabitan pihak tertentu yang cuba ‘menikam belakang’ berhubung arahan supaya beliau bercuti sementara sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pelaburan MARA Berhad (PMB).

Annuar juga menegaskan sedia untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta bersedia dihukum jika terbukti melakukan kesalahan, termasuk salah guna kuasa sebagai Pengerusi MARA dan PMB berhubung dana penajaan itu. – 6 Februari 2017.