Tawaran Diskaun 20 Peratus AirAsia

AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd menawarkan diskaun 20 peratus ke atas semua tempahan penerbangan mulai hari ini hingga 12 Februari ini.

Tawaran itu membabitkan perjalanan antara 7 Februari hingga 31 Julai, 2017.

Dalam satu kenyataan, AirAsia berkata, tambang rendah itu meliputi semua destinasi, termasuk Kuala Lumpur ke Shantou, Luang Prabang, Pattaya, Perth, Busan atau Pulau Pinang ke Johor, Medan dan Johor ke Jakarta dan Guangzhou.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, diskaun berkenaan terpakai untuk semua tempahan yang dibuat menerusi airasia.com, aplikasi mudah alih AirAsia dan AirAsiaGo, manakala BIG Members boleh menebus mata penerbangan menggunakan AirAsia BIG Points masing-masing.

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia, Siegtraund Teh berkata, kempen promosi ‘Semua Tempat duduk, Semua Penerbangan’ itu dengan potongan 20 peratus tambang bagi rangkaian jarak dekat dan jarak jauh, juga meliputi Premium Flatbed di AirAsia X.

“Berdasarkan tambang rendah kami, lebih ramai rakyat Malaysia kini boleh melawat ke destinasi menarik dalam rangkaian penerbangan luas kami, kebanyakannya dikendalikan secara eksklusif oleh AirAsia dan AirAsia X,” katanya. – 6 Februari 2017.