UMK, WASPADA Kerjasama Bangunkan Lembangan Sungai Pengkalan Datu

Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Persatuan Warisan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (WASPADA) akan bekerjasama bagi melakukan penyelidikan dalam memajukan Lembangan Sungai Pengkalan Datu, berasaskan warisan dan alam semulajadi.

Naib Canselor UMK, Datuk Dr. Mortaza Mohamed berkata, penyelidikan itu membabitkan keluasan seluas 10 kilometer bermula di muara Pantai Senok sehingga ke Pasir Tumboh, Kelantan.

“Ia dijangka mengambil masa tiga hingga lima tahun mengenai kesan sejarah di kawasan itu,” katanya ditemui dalam perjumpaan UMK dan WASPADA di UMK Kampus Kota, hari ini.

Menurut Mortaza, Lembangan Sungai Pengkalan Datu pernah menjadi pelabuhan utama pada tahun 1605 di Kelantan sehingga menjadi tumpuan pedagang selain terkenal dengan aktiviti seni budaya.

Beliau berkata, seramai 400 pelajar UMK dari Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Fakulti Seni Bina dan Ekistik (FEA) dan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK) terbabit dengan penyelidikan itu.

“Pelajar tahun akhir ini akan melakukan penyelidikan di sepanjang lembangan sungai sebagai tugasan akhir mereka bermula bulan ini dengan membuat kajian segera di setiap lokasi yang berpotensi dibangunkan.

“Kita juga menjangkakan lima hingga tujuh tesis dapat dihasilkan melalui projek ini yang akan dijadikan asas kepada pembangunan di Lembangan Sungai Pengakalan Datu,” katanya.

Tambahnya, sungai berkenaan sesuai dijadikan tarikan pelancongan baharu kerana kaya dengan pelbagai warisan baik dari segi sejarah mahupun kebudayaan penduduk sekitar.

“Kita juga akan mendokumentasikan hasil kajian untuk dijadikan rujukan masa hadapan supaya warisan ini tidak hilang,” katanya. – 6 Februari 2017.