JPNK Nafi Dakwaan Bakar Pondok Orang Asli

Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) menafikan dakwaan
pasukan penguat kuasa jabatan itu membakar pondok haram yang
dibina oleh Orang Asli dalam operasi di Gua Musang, semalam.

Pengarah JPNK, Datuk Zahari Ibrahim berkata, kebakaran itu
berpunca daripada kesan bara api yang ditinggalkan oleh
sekumpulan Orang Asli di dalam pondok yang baru dibina
mereka.

“Dalam operasi di Hutan Simpan Balah itu memang ada kerja
meroboh pondok yang dibina secara haram tetapi tidak
membakarnya sesuka hati seperti mana dakwaan sesetengah
pihak.

“Kebakaran itu adalah berpunca daripada kesan bara api yang
ditinggalkan semalaman oleh Orang Asli yang disangkakan sudah
terpadam,” katanya dalam satu kenyataan.
Difahamkan, selain meroboh pondok yang baharu dibina, operasi
tersebut juga turut merobohkan sekatan baharu yang dibina
oleh kumpulan Orang Asli berkenaan.

Operasi selama lima jam bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang
itu melibatkan tiga pasukan penguat kuasa JPNK termasuk
daripada Pejabat Hutan Gua Musang. – 7 Februari 2017.