Perkasa Kesal Sikap Kerajaan PAS Kelantan

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kesal dengan
sikap Kerajaan PAS Kelantan yang terus ego mempertahankan
aktiviti pembalakan di negeri itu.

Timbalan Yang Dipertua Perkasa negeri, Wan Mohd. Nazi Wan
Hamat berkata, kerajaan pimpinan Datuk Ahmad Yakob itu
sepatutnya sedar serta mengambil iktibar daripada bah kuning
tiga tahun lalu yang menyebabkan pelbagai kemusnahan kerana
pembalakan.

“Kita lihat penebangan balak yang berleluasa sebenarnya boleh
memberi kesan jangka panjang kepada alam sekitar seperti
kawasan tadahan hujan berkurangan, sumber hutan terjejas,
mengancam hidupan liar sekaligus menjejaskan sumber pencarian
masyarakat Orang Asli.

“Kerajaan negeri sepatutnya mengambil contoh kerajaan
Thailand yang cukup sensitif dengan alam sekitar dan
mengenakan hukuman berat kepada sesiapa sahaja yang membalak
secara haram,” katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah sebelum
itu dilaporkan berkata, hak untuk membalak adalah milik
kerajaan negeri yang termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan.

Perkasa dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia
(Peka) pernah mendesak Kerajaan PAS Kelantan menghentikan
aktiviti pembalakan selama 50 tahun berkuat kuasa serta-
merta.

Sementara itu, Wan Mohd. Nazi turut berharap agar kerajaan
PAS Kelantan dapat mengikut jejak Melaka yang berjaya
meningkatkan hasilnya pada setiap tahun tanpa perlu
bergantung kepada aktiviti pembalakan.

“Kita ambil contoh Melaka, negerinya sekangkang kera, tiada
balak, tiada ladang yang terbentang luas tetapi hasil
tahunannya cukup besar serta mempunyai jumlah pelancong yang
ramai setiap tahun.

“Kelantan mempunyai banyak pantai, tempat reakreasi yang
menarik selain pelbagai produk kesenian rakyat. Namun
malangnya, ia gagal dimajukan oleh Kerajaan PAS Kelantan,”
katanya. – 7 Februari 2017.