‘Sembang-Sembang’, PPBM Kecewa Dengan PAS

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kecewa dengan sikap PAS
yang dikatakan masih berdolak dalih dalam isu kerjasama
pakatan pembangkang.

Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, biarpun sudah
tiga kali rundingan diadakan namun tiada sebarang kata putus
dicapai.

Beliau berkata, lebih mengecewakan apabila PAS hanya
menganggapkan pertemuan tersebut sebagai ‘sembang-sembang’
sahaja.

“Kita sudah berunding sebanyak tiga kali, dan rundingan
tersebut telah bersetuju beberapa perkara dan dipersembahkan
kepada pimpinan tertinggi parti masing-masing.

“Namun selepas pertemuan PAS mengeluarkan kenyataan ia hanya
sembang-sembang sahaja. Kalau hanya nak sembang buat apa
sampai tiga kali,” katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan
Man menyatakan tiada keputusan muktamad mengenai hubungan PAS
dan PPBM.

Kenyataan tersebut dibuat selepas pertemuan atau perbincangan
antara PPBM dan PAS berhubung isu kerjasama pakatan
pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Umum – 14 (PRU-14).

Tuan Ibrahim berkata, segala cadangan hasil perbincangan itu
akan dikaji dan diteliti oleh Jawatankuasa Teknikal Bersama
seterusnya dibawa kepada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS
Pusat untuk diputuskan.

“Sebagaimana amalan dalam semua kerjasama politik yang dibuat
sebelum ini, begitulah juga dalam hubungan dengan PPBM, PAS
akan menyerahkan kepada Majlis Syura Ulamak PAS,” kata Tuan
Ibrahim.

Jelasnya, badan tertinggi yang memandu parti itu akan membuat
keputusan berhubung kerjasama politik bersama PPBM dengan
meneliti aspek syarak sama ada boleh diteruskan atau
sebaliknya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi
Marzuki menyifatkan kerjasama PAS dan PPBM ‘masih jauh’ untuk
terlaksana.

Beliau berkata, semua cadangan kerjasama daripada PPBM perlu
diteliti oleh Jawatankuasa PAS Pusat terlebih dahulu sebelum
dibawa ke Majlis Syura Ulamak.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
menegaskan parti Islam itu tidak akan bekerjasama dengan
mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengan Amanah dan
DAP.

Dalam pada itu, Hamidah turut melahirkan rasa kecewanya
terhadap PAS dengan berkata parti itu lebih cenderung kepada
UMNO dan Barisan Nasional. – 7 Februari 2017.