Hospital Tanah Merah Dilengkapi Perkhidmatan CT Scan

Selama ini, pesakit di jajahan Tanah Merah perlu ke Kota Bharu atau Kuala Krai semata-mata untuk menjalani pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) bagi mengesan penyakit masing-masing.

Ini kerana, Hospital Tanah Merah tidak mempunyai perkhidmatan tersebut.

Bagaimanapun, bermula hari ini, para pesakit tidak perlu lagi dihantar ke Kota Bharu atau Kuala Krai kerana Hospital Tanah Merah telah pun dilengkapi perkhidmatan tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, teknologi CT Scan membolehkan proses diagnosis penyakit menjadi lebih cepat dan cekap.

Katanya, kewujudan perkhidmatan tersebut di Hospital Tanah Merah dijangka dapat memberi manfaat kepada kira-kira 160,000 penduduk di jajahan ini, Jeli dan Machang serta sebahagian daripada Pasir Mas.

“Projek perkhidmatan CT Scan ini dibina dengan kos keseluruhan sebanyak RM3.4 juta dan mengambil masa selama 11 bulan sahaja.

“Perkhidmatan ini menjadi kenyataan kerana usaha gigih Ahli Parlimen Tanah Merah yang tidak jemu-jemu turun naik di pejabat kementerian,” katanya ketika merasmikan bangunan dan perkhidmatan CT Scan tersebut di Hospital Tanah Merah, semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz serta Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Hilmi memberitahu, melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), kerajaan turut meluluskan pembinaan blok tambahan Hospital Tanah Merah melibatkan kos sebanyak RM150 juta.

“Dengan pembinaan blok tambahan yang akan bermula akhir tahun ini, terdapat pertambahan sebanyak 124 katil, lima dewan bedah, klinik-klinik pakar, wad rawatan rapi serta ruang parkir yang lebih luas.

Sementara itu, Ikmal Hisham berkata, penambahbaikan perkhidmatan Hospital Tanah Merah amat ditunggu-tunggu penduduk yang selama ini perlu menempuh perjalanan sejauh 50 kilometer untuk ke Kota Bharu demi mendapatkan perkhidmatan yang lengkap.

“Saya mewakili penduduk Tanah Merah mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa mendengar keluhan rakyat,” katanya. – 8 Februari 2017.