Isu Annuar: MARA Mulakan Siasatan Dalaman

Mesyuarat Jawatankuasa Audit Dalaman MARA bagi menyiasat dakwaan salah guna kuasa melibatkan Tan Sri Annuar Musa telah diadakan pada hari ini.

Pengerusi sementara MARA, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, Annuar yang kini digantung tugas sebagai pengerusi MARA dan pengerusi Pelaburan Mara Berhad (PMB) bagaimanapun tidak dipanggil dalam mesyuarat kali pertama itu.

“Ini mesyuarat kali pertama. Saya tidak terlibat dalam mesyuarat itu dan menyerahkan kepada jawatankuasa sama ada akan memanggil Tan Sri Annuar dalam masa terdekat atau tidak,” katanya semasa dihubungi.

Sementara itu, Annuar memberitahu tidak dimaklumkan mengenai sebarang mesyuarat namun bersedia dipanggil pada bila-bila masa.

Annuar digantung jawatan sebagai pengerusi MARA dan pengerusi PMB pada 31 Januari lalu bagi membolehkan audit dalaman MARA menyiasat beberapa perkara mengenai agensi itu termasuk penajaan PMB dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kepada pasukan bola sepak Kelantan. – 8 Februari 2017.