Permohonan RBN Di Kelantan Masih Rendah

Permohonan terhadap Rumah Bina Negara (RBN) untuk generasi kedua di Kelantan masih berada di tahap rendah.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, setakat ini, hanya 100 permohonan sahaja yang diterima daripada 200 unit rumah yang disediakan untuk rakyat di negeri itu.

Beliau berkata, rakyat khususnya generasi kedua harus merebut peluang ini untuk memiliki rumah sendiri dengan harga yang mampu milik.

“Kerajaan begitu bersungguh-sungguh membantu rakyat untuk memiliki rumah sendiri dengan menawarkan insentif sebanyak RM20,000 bagi setiap rumah yang berharga RM65,000.

“Namun peluang ini tidak direbut, malah ada segelintir pihak yang hanya ingin bantuan rumah percuma sepenuhnya dari pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Program Pembangunan RISDA Kelantan dan Bantuan Banjir Tahun 2017 di Sekolah Kebangsaan Pangkal Nering, Machang.

Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 5,000 unit RBN untuk generasi kedua di seluruh negara termasuk 200 unit di Kelantan.

“Projek ini mula dilaksanakan tahun lalu dan dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) serta Felcra Berhad (Felcra) sebagai agensi pelaksana.

“Pembinaan rumah berkenaan sudah bermula dan mereka yang ingin memohon boleh mengisi borang di pejabat RISDA di setiap daerah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata, pihaknya turut menafikan dakwaan yang mengatakan RBN adalah untuk penyokong kerajaan sahaja.

“Bila dengar BN, pelbagai tuduhan dilemparkan kononnya RBN ini untuk golongan yang menyokong kerajaan sahaja.

“Tanggapan ini salah dan tidak berasas kerana kerajaan ingin membantu semua tanpa mengira siapa. Kenapa harus menidakkan usaha baik yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya. – 8 Februari 2017.