Ramalan Hujan Lebat Tiga Hari Di Pantai Timur

Ramalan jukan lebat peringkat kuning dijangka melanda beberapa kawasan di tiga negeri di Pantai Timur semenanjung, bermula Sabtu ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan berkata, hujan lebat dijangka melanda kawasan jajahan Bachok, Pasir Puteh dan Machang di Kelantan.

Situasi sama juga dijangka berlaku di Terengganu dan Pahang (daerah Pekan, Kuantan dan Jerantut) dari Sabtu, 11 Februari 2017 sehingga Isnin, 13 Februari 2017.

Amaran hujan lebat peringkat kuning adalah kawasan yang dijangka mengalami hujan lebat dalam tempoh satu hingga tiga hari.

Sementara itu, ribut petir yang berlaku di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka dijangka berterusan sehingga awal pagi ini.

“Ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang di negeri Selangor (daerah Kuala Langat dan Sepang), Negeri Sembilan (daerah Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Seremban dan Port Dickson) serta Melaka dijangka berterusan sehingga awal pagi, Rabu 8 Februari 2017,” kata kenyataan itu. – 8 Februari 2017.