Bayi Enam Bulan Mati Tersedak Susu

Seorang bayi berusia enam bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di Kampung Tendong, Pasir Mas semalam.

Mohd. Adam Rayyan Shahrul Nizam, anak kepada pasangan Shahrul Nizam Nasir, 27, dan Syahima Edayu Akmal Mohd. Alwi, 26, atau Rosalinda iaitu penyanyi dikir barat dan lagu daerah Kelantan disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Tendong kira-kira pukul 12 tengah hari.

Shahrul Nizam berkata, kejadian tersebut disedari isterinya sebaik sahaja masuk semula ke bilik untuk menambah susu bayi tersebut.

“Sebaik sahaja masuk semula ke bilik isteri saya melihat Mohd. Adam Rayyan berada dalam keadaan tertiarap.

“Setelah isteri saya memalingkan badannya, dia (Mohd. Adam Rayyan), kelihatan tidak bermaya dan mukanya pucat.

“Kami terus membawanya ke Klinik Kesihatan Tendong untuk pemeriksaan. Selepas setengah jam pihak klinik mengesahkan anak saya sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Shahrul Nizam memberitahu, hasil bedah siasat yang dilakukan Mohd.Adam Rayyan disahkan meninggal dunia akibat tersedak susu.

Katanya, sebelum kejadian Mohd. Adam berada dalam keadaan baik selepas diberikan susu botol oleh ibunya.

Sementara itu, Shahrul Nizam reda dengan pemergian Mohd. Adam Rayyan kerana itu adalah ketentuan Ilahi. – 9 Februari 2017.