DAP Pun Gagal Kata Mohd. Amar Kepada Guan Eng

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng diselar kerana menjaga tepi kain orang lain iaitu dengan cara menyibuk dan mempertikai cara PAS mentadbir Kelantan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Guan Eng tidak layak melabel PAS gagal mentadbir Kelantan dengan mengaitkan isu banjir kerana DAP juga sebenarnya gagal menyelesaikan masalah banjir kilat di Pulau Pinang

“Guan Eng sepatutnya kena jaga mulut, sebagai Ketua Menteri dia kena cermat bercakap, kena faham isu dan kena ada fakta lengkap.

“Menuduh Kelantan gagal dan muflis satu tuduhan berat. Kalau dia kata mundur, kita boleh terima jika hendak dibandingkan dengan Kuala Lumpur tetapi tidaklah sampai kita merempat dan perlu minta bantuan Pulau Pinang.

“Kalau kata kita gagal, dia pun gagal. Sejak DAP memerintah, masalah banjir kilat tidak pernah selesai sampai perlu minta bantuan kerajaan Pusat. Lebih baik dia jaga negeri itu daripada sibuk hal Kelantan,” katanya ditemui semalam.

Sebelum itu Guan Eng dilaporkan mendakwa Kelantan adalah sebuah negeri gagal dan muflis kerana ditadbir oleh sebuah parti yang gagal iaitu PAS, sekali gus menyebabkan rakyat hidup dalam kemiskinan.

Guan Eng juga mendakwa kerajaan PAS Kelantan gagal menyelesaikan isu rumah mangsa banjir 2014 selain terpaksa menebang kira-kira 100,000 hektar hutan berikutan tidak mempunyai wang untuk mentadbir negeri itu.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata, setakat ini sudah 80 peratus isu kediaman mangsa banjir telah selesai dan baki yang tergendala adalah disebabkan masalah teknikal yang dihadapi kerajaan Persekutuan.

Beliau turut menegaskan, lebih 50 peratus daripada kawasan hutan di Kelantan masih lagi berstatus hutan simpan dan perkara itu selaras dengan kuota ditetapkan oleh Majlis Perhutanan Negara. – 9 Februari 2017.