Mayat Bayi Dalam Tong Sampah, Suspek Direman Empat Hari

Warga sebuah kolej swasta, di sini kecoh dengan penemuan mayat bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan yang dibuang di dalam tong sampah di bilik air asrama perempuan kolej tersebut kelmarin.

Difahamkan, mayat bayi tersebut yang dibungkus menggunakan sehelai seluar sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik ditemukan oleh seorang pengawal keselamatan pada pukul 3 petang.

Bayi yang sudah cukup sifat itu dan masih bertali pusat dikatakan dilahirkan secara normal dengan usia dalam kandungan ibunya dianggarkan sekitar tujuh bulan.

Menurut Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad, kejadian tersebut terbongkar selepas pengawal keselamatan berusia 58 tahun mendengar perbualan pelajar perempuan yang ternampak titisan darah yang banyak dalam sebuah bilik.

“Apabila masuk ke bilik di tingkat dua itu, pengawal terbabit melihat banyak tompokan darah di atas katil. Dia kemudian melihat terdapat titisan darah di lantai menuju ke tandas selain turut menemui banyak kesan darah yang banyak.

“Dalam tandas tersebut terdapat satu tong sampah. Apabila diperiksa kandungan tong sampah, terdapat sehelai seluar yang dibungkus dengan plastik. Selepas bungkusan dibuka, dia terjumpa bayi yang sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui.

Menurut Din, selepas dinasihatkan pengurusan kolej, pengawal berkenaan membuat laporan polis kira-kira pukul 6.21 petang.

“Pihak polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan hasil soal siasat mendapati pelajar perempuan yang merupakan suspek utama tiada di kolej kerana menjalani rawatan di hospital selepas mengadu sakit,” katanya.

“Berdasarkan siasatan awal, pelajar tahun satu semester dua, berusia 19 tahun dan berasal dari Perak itu bagaimanapun merahsiakan kelahiran bayi tersebut sehinggalah mayat anaknya dijumpai pengawal keselamatan,” katanya.

Pelajar terbabit yang masih menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), hari ini direman selama empat hari sehingga 11 Februari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Norida Mohd. Husain yang tiba di hospital berkenaan kira-kira pukul 12 tengah hari sebelum proses tersebut selesai kira-kira dalam 30 minit. – 9 Februari 2017.