RM30 Juta Bangunkan Infrastruktur Tanaman Padi, Pengairan Dan Saliran

Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memperuntukkan kira-kira RM30 juta untuk membangunkan seluruh kawasan di bawah seliaannya tahun ini.

Lembaga Pengarah KADA, Datuk Hanafi Mamat berkata, peruntukan itu melibatkan pembangunan infrastruktur tanaman padi, pengairan serta saliran dan sebagainya.

“Peruntukan pembangunan ini turut melibatkan pelbagai aktiviti serta projek untuk pembangunan petani.

“Setiap tahun, KADA akan menyediakan peruntukan pembangunan sebagai usaha untuk membantu meningkatkan pengeluaran hasil padi sekaligus menambah pendapatan petani,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Insentif Projek NKEA KADA Nilam Puri Musim 1/2016, Kota Bharu hari ini.

Dalam pada itu, Hanafi berkata, pihaknya berharap projek membaikpulih pam air di kawasan KADA dapat diluluskam tahun ini.

“Di kawasan KADA, kita mempunyai tiga pam air iaitu di Kemubu, Lemal dan Kasar. Ketiga-tiga pam itu perlu dibaikpulih.

“Kita akan dapat menyelesaikan masalah perairan di seluruh kawasan KADA sekaligus dapat mengelak masalah kerosakan tanaman padi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KADA mengalami kerosakan infrastruktur bernilai RM5.5 juta akibat banjir baru-baru ini.

“Manakala untuk petani yang terjejas dengan banjir, kita sedang mengumpul maklumat untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – 9 Februari 2017.