Sekatan Menyusahkan Masyarakat Orang Asli Sendiri Kata Timbalan Menteri Besar

Tindakan sekumpulan Orang Asli membina sekatan bagi menghalang lori membawa keluar hasil pembalakan di hutan di Gua Musang dilihat tidak membawa sebarang manfaat, sebaliknya hanya menyusahkan masyarakat mereka sendiri.

Menurut Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, sekatan-sekatan tersebut dibina di lokasi yang turut menjadi laluan utama untuk masyarakat Orang Asli melaksanakan urusan harian.

“Kerajaan negeri sudah ambil beberapa langkah proaktif bagi menyelesaikan isu bantahan Orang Asli terhadap pembalakan termasuk membekukan lesen serta pengeluaran hasil balak dari kawasan itu. Jadi kita minta hentikanlah sekatan ini.

“Yang mahu menyekat sebenarnya hanya segelintir manakala majoriti Orang Asli pula tidak menyokong perbuatan ini kerana menyusahkan mereka. Orang nak hantar makanan tak dapat, mereka nak keluar masuk pun terganggu,” katanya.

Kemelut Orang Asli dengan kerajaan negeri berlarutan sejak tahun lalu dengan yang terbaharu, kumpulan tersebut terus membina sekatan bagi menghalang hasil balak dibawa keluar dari kawasan hutan di Gua Musang.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, dari segi perundangan, Orang Asli tidak mempunyai hak mendirikan sekatan di atas tanah hutan simpan kerana kawasan itu adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan negeri.

“Kita tidak ada pilihan kecuali robohkan sekatan kerana bercanggah dengan undang-undang. Sekatan dibuat bukannya di kampung atau penempatan Orang Asli tetapi di kawasan hutan simpan.

“Sepatutnya sesiapa yang mahu masuk kawasan hutan perlu minta kebenaran Jabatan Perhutanan Kelantan. Selama ini kita beri kelonggaran untuk Orang Asli merayau dan mencari rezeki di kawasan itu. Jadi hentikanlah perbuatan ini,” katanya. – 9 Februari 2017.