Virus Tidak Dikenali, 40 Sekeluarga Dikuarantim

Seramai 40 sekeluarga dikuarantin di hospital Tanah Merah, Kelantan berikutan seorang lelaki berusia 59 tahun meninggal dunia akibat sejenis virus yang belum dikenal pasti oleh pakar perubatan.

Lelaki berkenaan meninggal dunia di hospital sama pada Isnin lepas selepas mengalami batuk-batuk dan sukar bernafas.

Manakala, seorang saudaranya yang berusia 28 tahun kini berada dalam keadaan kritikal di hospital.

Difahamkan kedua-dua lelaki itu baru pulang dari Kajang, Selangor, selepas bercuti bersama keluarga pada cuti perayaan Tahun Baru Cina.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Maher mengesahkan bahawa 40 orang telah dikuarantin di hospital sebagai langkah berjaga-jaga dan doktor sedang cuba mengenal pasti punca jangkitan.

Sementara itu, anak saudara mangsa memberitahu, bapa saudaranya sukar bernafas selepas beliau dan ahli keluarganya pulang daripada cuti baru-baru ini.

Menurutnya, pihak hospital memaklumkan mangsa meninggal dunia akibat radang paru-paru walaupun beliau tidak menghidapi sebarang penyakit serius sebelum ini.

Seorang lagi saudaranya berkata, sehubungan itu pihak hospital mengarahkan mereka dikuarantin selepas penyakit itu menunjukkan tanda-tanda jangkitan. – 9 Februari 2017.