Zaid Ibrahim Lebih Teruk Daripada Ibrahim Ali

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menyifatkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mengumumkan menyertai DAP sebagai seorang yang keliru.

Menurut Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar, tindakannya yang sering lompat parti membuktikan Zaid masih keliru dalam menentukan perjuangannya.

“Zaid pernah tuduh PAS keliru, saya rasa dia lebih keliru, dia mempunyai banyak parti berbanding orang lain iaitu UMNO, PKR dan KITA (Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air).

“Parti dia lebih banyak daripada Datuk Ibrahim Ali. Dalam isu lompat parti, saya fikir Zaid lebih teruk daripada Ibrahim Ali. Sepatutnya dia perlu pesan siap-siap, selepas DAP parti apa pula dia nak masuk,” katanya.

Zaid mengumumkan menyertai DAP kerana mahu menerangkan kepada orang Melayu keadaan sebenar parti pembangkang yang dilabel sebagai anti Islam dan cauvinis Cina tersebut.

Mengulas ‘niat’ Zaid tersebut, Mohd. Amar berkata, di Kelantan, Zaid langsung tidak mempunyai peluang menarik sokongan rakyat terutama orang Melayu.

Katanya, nama DAP bakal memberikan masalah besar kepada mana-mana ahli politik yang mahu mencuba nasib bertanding dalam pilihan raya menggunakan tiket parti itu di Kelantan.

“Kalau di Kelantan, saya tidak fikir dia berpeluang tarik sokongan rakyat.

“Sebut sahaja nama DAP memang sukar. Siapa-siapa yang bertanding atas tiket DAP di Kelantan ada masalah besar tetapi kalau negeri lain saya tidak tahu,” katanya. – 9 Februari 2017.