Bakteria Atypical Klebsiella Pneumonia Punca Kematian?

Virus misteri yang dikaitkan dengan punca kematian seorang lelaki di Hospital Tanah Merah pada Ahad lalu dipercayai bakteria Atypical Klebsiella Pneumonia.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, bakteria yang tersebar melalui udara itu boleh menyebabkan seseorang mengalami jangkitan saluran pernafasan sehingga boleh membawa maut.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya akan menghantar sampel yang diambil daripada mangsa ke Hospital Sungai Buloh untuk mengetahui punca sebenar kematian.

Akhbar semalam melaporkan seorang lelaki maut, seorang lagi kritikal dan 40 ahli keluarga mereka dikuarantinkan di Hospital Tanah Merah sejak tiga hari lalu selepas mengalami sesak nafas dan batuk dipercayai akibat serangan virus misteri.

Keluarga terbabit sebelum itu dikatakan menghadiri satu perjumpaan di Kajang, Selangor pada 27 sehingga 31 Januari lalu. – 10 Februari 2017.