Kelantan Muflis: Dakwaan Guan Eng Tidak Tepat

Dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa Kelantan adalah sebuah negeri yang gagal dan muflis adalah tidak tepat.

Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, meskipun mengakui Kerajaan PAS Kelantan mempunyai kelemahan daripada segi urus tadbir namun situasi tersebut tidaklah sampai boleh menyebabkan sesebuah negeri itu muflis.

Katanya, kerajaan Pulau Pinang juga didapati mempunyai kelemahan terutama dari segi menyediakan rumah kos rendah sehingga menyebabkan rakyat terhimpit.

“Kita akui Kerajaan PAS Kelantan ada kelemahan dan kerajaan Pusat sentiasa membantu terutama dari segi menampung belanja mengurus.

“Jadi kita kena sama-sama baiki kelemahan sama ada kerajaan Kelantan atau Pulau Pinang sendiri,” katanya selepas majlis Town Hall isu-isu semasa bersama penjawat awam, di Kota Bharu.
Barfu-baru ini, Guan Eng dilaporkan mendakwa Kelantan adalah sebuah negeri gagal dan muflis kerana ditadbir oleh sebuah parti yang gagal iaitu PAS, sekali gus menyebabkan rakyat hidup dalam kemiskinan.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan itu juga mendakwa kerajaan PAS Kelantan gagal menyelesaikan isu rumah mangsa banjir 2014, selain terpaksa menebang kira-kira 100,000 hektar hutan kerana tidak mempunyai wang untuk mentadbir.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kerajaan Pusat sentiasa membantu kerajaan negeri Kelantan terutama dari segi menampung belanja mengurus.

“Kita faham masalah kerajaan negeri dan sebagai sebuah kerajan yang bertanggungjawab, kita bantu,” katanya. – 10 Februari 2017.