Kerja Naik Taraf LTSIP Hujung Tahun Ini

Kerja-kerja menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, Kelantan dijangka akan dimulakan hujung tahun ini.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapa berkata, setakat ini, projek berkenaan sedang dalam proses perancangan pelan sebelum ia dimulakan.

Beliau berkata, projek yang menelan belanja kira-kira RM450 juta itu mampu menampung empat juta penumpang berbanding sebelum ini hanya sekitar 1.5 juta.

“Selepas semua proses ini selesai, kerja-kerja pelaksanaannya akan dimulakan termasuk memperbesarkan serta mengasingkan ruang menunggu.

“Selain itu, bilangan lot parkir turut ditambah daripada 300 lot kepada 1,500 lot serta beberapa penambahbaikan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-6 Kelab Media Kelantan Darul Naim di Kota Bharu hari ini.

Dalam pada itu, Makhtar berkata, kerajaan pusat akan berusaha melaksanakan projek-projek untuk rakyat seperti yang dijanjikan.

“Tahun ini adalah tahun untuk melaksanakan apa yang dijanjikan sebelum ini. Apa boleh buat kita akan buat.

“Kerajaan pusat sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk kemudahan serta keselesaan rakyat melalui pelbagai projek pembangunan,” katanya. – 10 Februari 2017.