Trak Makanan Bernilai RM80,000 Untuk Peserta IKS

Seramai 10 peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menerima trak makanan atau karavan yang bernilai RM80,000 setiap satu untuk tujuan mengembangkan perniagaan masing-masing.

Trak makanan yang diberi melalui Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) itu akan membantu peserta memperolehi pendapatan bersih sehingga RM5,000 sebulan.

Ahli Lembaga Pengarah KADA, Datuk Hanafi Mamat berkata, kenderaan mudah alih itu dilihat dapat meningkatkan pendapatan peniaga khususnya produk makanan untuk bergerak lebih mudah ke lokasi berbeza.

“Melalui program ini, peserta hanya perlu membayar sewa beli trak sebanyak RM1,700 sebulan selama lima tahun sebelum trak berkenaan menjadi milik mereka.

“Dengan karavan ini, peniaga akan mendapat lebih banyak pengalaman di lokasi jualan yang berbeza sekali gus memudahkan mereka majukan perniagaan masing-masing,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyampaian karavan berkenaan di Pejabat KADA, Padang Enggang, di Kota Bharu.

Tambah Hanafi, setiap peserta juga akan mendapat bimbingan perniagaan secara berterusan oleh pihak KADA termasuk pemasaran produk dan jualan di tapak Food Track bermula 12 Februari di Dataran Rehal, Kota Bharu.

Sementara itu, peserta, Wan Mohd Firdaus Wan Hussin, 26, berkata, dia teruja mendapat trak makanan bagi memperluaskan jualan makanan barat dan kambing golek jenama Wok miliknya.

“Saya harap dengan perniagaan menggunakan karavan, lebih memudahkan saya berniaga kerana sebelum ini produk dihantar kepada pelanggan melalui runner (penghantar barang) daripada Tumpat hingga ke Kota Bharu,” katanya. – 10 Februari 2017.