Annuar Hantar Wakil Bawa Pulang Mat Tere

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa telah menghantar wakil untuk membawa pulang seorang lelaki ‘istimewa’ dikenali sebagai Mat Tere yang berada di Johor bagi membantu siasatan kerana menghina Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Katanya, Mat Tere atau nama sebenarnya Muhammad Zul Apis Baharum, 29, dijangka dibawa pulang dalam tempoh sehari dua lagi selepas proses siasatan tersebut selesai.

“InsyaAllah berkat kerjasama semua, kita hantar wakil ke Johor untuk membawa balik Mat Tere sehari dua lagi.

“Terima Kasih pada semua. Jaga susila dan sentiasa hormati undang-undang,” katanya menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Mat Tere ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan diserahkan kepada polis Johor bagi membantu siasatan berhubung video kata-kata kesat menghina TMJ yang menjadi tular di facebook baru-baru ini. – 11 Februari 2017.