Annuar, TMJ Punyai Kelebihan Masing-Masing

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dijangka bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempunyai kelebihan masing-masing bagi merubah masa depan bola sepak negara.

Lagenda bola sepak Kelantan, Mohd. Hashim Mustapha berkata, dua individu tersebut telah membuktikan kemampuan masing-masing apabila membawa perubahan kepada pasukan bola sepak Kelantan dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dalam masa sama, beliau turut berharap individu yang bakal dipilih sebagai Presiden FAM itu nanti boleh memberi sumbangan terbaik kepada bola sepak negara yang semakin jauh ketinggalan.

“Saya lihat kedua-dua tokoh ini mempunyai kelebihan, Tan Sri Annuar kalau kita dapat lihat telah membawa Kelantan daripada ‘kosong’ sehingga menjadi pasukan bola sepak yang sangat digeruni.

“Begitu juga TMJ, telah membawa pembaharuan kepada JDT sehingga kelab tersebut berada dalam kelas tersendiri yang menjadi ikutan pasukan-pasukan lain,” katanya ketika ditemui hari ini.

Pemilihan Presiden FAM yang baharu untuk menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah akan dilangsungkan pada Mac depan.

Setakat ini hanya Annuar yang telah mengesahkan akan bertanding bagi merebut jawatan itu.

TMJ yang telah mendapat restu daripada ayahanda baginda Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk bertanding jawatan No.1 FAM itu bagaimanapun sehingga kini masih belum membuat kenyataan sama ada akan turut bersaing.

Seorang lagi yang dicalonkan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pula menunggu Tunku Ismail mengesahkan status pencalonannya sebelum beliau sendiri membuat keputusan untuk turut bertanding atau sebaliknya.

Mengulas lanjut bekas pemain kebangsaan itu berkata, beliau juga berharap kedua-dua tokoh itu dapat berganding dalam bersama-sama membantu bola sepak negara.

“Kalau boleh kita hendak lihat Annuar dan TMJ sama-sama berada dalam FAM. Kita tidak mahu salah seorang daripada mereka tiada dalam pengurusan baharu badan induk bola sepak negara itu nanti,” katanya. – 11 Februari 2017.