Bertanding Atau Tidak Annuar Masih Terbuka

Tan Sri Annuar Musa masih terbuka sama ada untuk berundur atau terus bertanding bagi merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beliau berkata, hanya akan membuat ketetapan setelah mengetahui senarai penuh calon yang bertanding bagi merebut jawatan tersebut.

“Tempat itu kosong, saya dicalonkan dan menghantar borang terlebih dahulu, jadi terpulang siapa yang mahu melawan saya, bukan saya lawan orang.

“Mungkin Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau sesiapa sahaja ingin lawan saya.

“Bila ada lawan baru saya dapat membuat ketetapan kerana saya terbuka dan tidak timbul siapa lawan siapa,” katanya kepada pemberita hari ini.

Annuar berkata, tempoh pencalonan untuk jawatan berkenaan masih lagi panjang dan semua pihak tidak perlu bimbang sekiranya terdapat pertandingan.

“Masa masih panjang dan saya tidak bergaduh dengan sesiapa. Kalau terpaksa ada pertandingan sekalipun tidak perlu dibimbangkan kerana saya bukan sesiapa.

“Saya tiada pasukan bola, tiada jawatan dalam bola, saya juga tidak berkempen dan sekadar isi borang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap akan mendapat dua undi dari Kelantan.

“Saya cuma doakan saya mendapat dua undi dari Kelantan dan itu sudah dikira bonus,” katanya. – 11 Februari 2017.