Jangan Terpengaruh Khabar Angin Menteri Letak Jawatan

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed meminta orang ramai tidak terpengaruh dengan khabar angin kononnya terdapat menteri kanan kerajaan meletak jawatan.

Katanya, cerita seperti itu sengaja ditimbulkan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab khususnya ketika pilihan raya semakin hampir.

“Dekat-dekat pilihan raya ini macam-macamlah orang nakal sengaja menimbulkan cerita yang bukan-bukan.

“Jadi kita harap rakyat Malaysia tidak terpesong dengan berita-berita sebegini yang disebarkan melalui media sosial,” katanya selepas majlis menghargai petugas-petugas banjir di salah sebuah hotel, di Kota Bharu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali melalui status Twitternya bermain teka-teki berhubung kedudukan seorang menteri kanan kerajaan yang didakwanya meletak jawatan.

Kata Mohamad Azmin, Menteri terbabit melepaskan jawatannya kerana tidak mahu bersubahat dalam isu 1Malaysia Developement Bhd. (1MDB).

Bagaimanapun melalui status Twitter tersebut, Mohamad Azmin tidak menyatakan secara jelas menteri berkenaan, sebaliknya sekadar melontarkan pertanyaan.
Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri berkata, khabar angin tersebut langsung tidak menjejaskan semangat kerajaan untuk terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Kita tidak akan terpengaruh dengan khabar-khabar angin begini selain tidak akan terpedaya dengan orang-orang tidak bertanggungjawab ini,” katanya. – 11 Februari 2017.